Thursday 16 May 2013

Persediaan Terakhir Terbuka UPM 2013

Pasukan HAGETAKA telah membuat persiapan terakhir pada hari Rabu 15 Mei 2013 bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda dengan semangat yang tinggi dan telah bersedia secara mental untuk menghadapi Kejohanan Terbuka UPM edisi 2013 kali ini. Namun, di sebalik persediaan tersebut, masih terdapat beberapa pemain utama yang belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan kemungkinan untuk diturunkan dan beraksi bersama-sama pasukan adalah meragukan. Secara umumnya, setiap pemain mengharapkan untuk dapat beraksi tanpa memikirkan keputusan yang bakal diterima pada kejohanan tersebut.


Menurut ketua jurulatih dan pengasas pasukan, Cikgu Norherman atau lebih senang dengan panggilan Sir Jay di kalangan pemain, pasukan HAGETAKA untuk kali ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas dari segi tempoh persediaan pasukan dan latihan kemahiran kepada pemain. Namun begitu, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan lain yang mengambil bahagian juga tidak kurang hebatnya seperti Johan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, SK Desa Petaling, Naib Johan Selangor, Pasukan Daerah Gombak atau Gladiators Junior, Midah Rugby Club dari Kuala Lumpur, SK Proton City dari Perak dan pasukan SK Lunas Jaya atau Rhinos dari Kedah.


Kejohanan kali ini disertai oleh 16 pasukan dan dijalankan secara 4 kumpulan. Hadiah yang disediakan adalah untuk pemenang bagi kategori CUP (Johan dan Naib Johan), PLATE (Johan dan Naib Johan) dan BOWL (Johan sahaja). Pasukan HAGETAKA mensasarkan peningkatan dan memenangi sekurang-kurangnya satu kategori yang lebih baik berbanding tahun lepas iaitu JOHAN BOWL.


Kontingen HAGETAKA akan bertolak pada Jumaat 17 Mei 2013 jam 8.00 malam dengan keretapi dan dijangka tiba di UPM Serdang pada jam 8.00 pagi bersama Sir Jay dan Cikgu Hazle Halme selaku Pengurus Pasukan. Pihak pengurusan pasukan yang diketuai oleh Guru Besar SK Kota Kuala Muda dan semua ibu bapa mendoakan pasukan HAGETAKA akan menghadapi kejohanan dengan semangat juang yang tinggi serta memberikan aksi terbaik mereka pada edisi kali ini. Oleh itu, sama-samalah kita nantikan kepulangan mereka pada 19 Mei 2013 dan diharap membawa pulang hadiah kemenangan. Terima kasih semua.

1 comment: