Sunday 19 May 2013

TAHNIAH, HAGETAKA GALLINAZO NAIB JOHAN CUP, ZAMURO NAIB JOHAN PLATE

HAGETAKA telah mula menunjukkan peningkatan permainan yang baik dengan mendapat keputusan yang membanggakan semua pihak termasuk ibubapa serta pentadbiran pasukan dan sekolah. HAGETAKA mempertaruhkan 3 buah pasukan iaitu GALLINAZO, ZAMURO dan CARANCHO yang telah bersaing dalam 3 kumpulan yang berbeza.


GALLINAZO dibarisi pemain yang berpengalaman dan berharga yang terdiri daripada 3 orang pemain tahun 6 iaitu Muhammad Sharul Aiman, Mohamad Amirul Shah dan Muhammad Shoufi, 4 orang tahun 5 iaitu Amzar Shahizan, Muhammad Azly Fahmi, Muhammad Firdaus dan Muhammad Shah Azanie serta seorang pemain tahun 4 iaitu Bishrul Afwi. 


ZAMURO pula dibarisi oleh Muhammad Zulhusni, Muhammad Hafiz, Muhammad Azrye, Muhammad Syafiq, Muhammad Nabil, Muhammad Izzat dan Muhammad Adli (tahun 6), Muhammad Danial Haziq (tahun 5) dan Ahmad Zuhairi (tahun 4).

Pasukan CARANCHO iaitu pasukan ketiga diketuai oleh Muhammad Zulhilmi, Muhammad Arif, Muhammad Nur Fisol (tahun 6), Muhammad Syahmie Aiman, Muhammad Fauzi, Muhammad Alif Fahimi, Muhammad Mifzal Fahmi dan Muhammad Ahkmal (tahun 5).



Jika pada edisi tahun 2012 HAGETAKA telah mendapat JOHAN BOWL, tetapi pada kali ini mereka telah menunjukkan peningkatan dengan GALLINAZO mendapat NAIB JOHAN CUP dan ZAMURO pula mendapat NAIB JOHAN PLATE. Tahniah buat semua pemain yang telah berjuang menentang lawan yang semuanya sangat hebat. Satu perkara lagi yang masih dikekalkan oleh pasukan HAGETAKA dalam kejohanan terbuka UPM ini ialah jumlah try atau jaringan tertinggi dalam sesebuah perlawanan. Jika tahun 2012 mereka telah mendapat jaringan 42 - 0, tetapi kali ini mereka telah mendapat jaringan 57 - 0 ke atas lawan dari pasukan Asia Pacific International School 'WHITE'. Ini menunjukkan mereka sangat berkebolehan untuk menyerang dan melakukan jaringan.

Oleh itu, tahniah sekali lagi kepada semua pemain yang telah bermain untuk HAGETAKA di Kejohanan Terbuka UPM ini. Selepas ini, Kejohanan Johor Mini 7's Rugby Challenge Under 11 akan menyusul pada 22 & 23 JUN 2013. Diharap pasukan bawah 11 tahun akan melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi kejohanan tersebut di mana pada edisi 2012, HAGETAKA juga adalah merupakan pemenang JOHAN BOWL.

Tahniah semua....all the best for HAGETAKA RUGBY ACADEMY...dan yang terakhir, apa komen gambar dibawah...




Thursday 16 May 2013

Persediaan Terakhir Terbuka UPM 2013

Pasukan HAGETAKA telah membuat persiapan terakhir pada hari Rabu 15 Mei 2013 bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda dengan semangat yang tinggi dan telah bersedia secara mental untuk menghadapi Kejohanan Terbuka UPM edisi 2013 kali ini. Namun, di sebalik persediaan tersebut, masih terdapat beberapa pemain utama yang belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan kemungkinan untuk diturunkan dan beraksi bersama-sama pasukan adalah meragukan. Secara umumnya, setiap pemain mengharapkan untuk dapat beraksi tanpa memikirkan keputusan yang bakal diterima pada kejohanan tersebut.


Menurut ketua jurulatih dan pengasas pasukan, Cikgu Norherman atau lebih senang dengan panggilan Sir Jay di kalangan pemain, pasukan HAGETAKA untuk kali ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas dari segi tempoh persediaan pasukan dan latihan kemahiran kepada pemain. Namun begitu, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan lain yang mengambil bahagian juga tidak kurang hebatnya seperti Johan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, SK Desa Petaling, Naib Johan Selangor, Pasukan Daerah Gombak atau Gladiators Junior, Midah Rugby Club dari Kuala Lumpur, SK Proton City dari Perak dan pasukan SK Lunas Jaya atau Rhinos dari Kedah.


Kejohanan kali ini disertai oleh 16 pasukan dan dijalankan secara 4 kumpulan. Hadiah yang disediakan adalah untuk pemenang bagi kategori CUP (Johan dan Naib Johan), PLATE (Johan dan Naib Johan) dan BOWL (Johan sahaja). Pasukan HAGETAKA mensasarkan peningkatan dan memenangi sekurang-kurangnya satu kategori yang lebih baik berbanding tahun lepas iaitu JOHAN BOWL.


Kontingen HAGETAKA akan bertolak pada Jumaat 17 Mei 2013 jam 8.00 malam dengan keretapi dan dijangka tiba di UPM Serdang pada jam 8.00 pagi bersama Sir Jay dan Cikgu Hazle Halme selaku Pengurus Pasukan. Pihak pengurusan pasukan yang diketuai oleh Guru Besar SK Kota Kuala Muda dan semua ibu bapa mendoakan pasukan HAGETAKA akan menghadapi kejohanan dengan semangat juang yang tinggi serta memberikan aksi terbaik mereka pada edisi kali ini. Oleh itu, sama-samalah kita nantikan kepulangan mereka pada 19 Mei 2013 dan diharap membawa pulang hadiah kemenangan. Terima kasih semua.

Friday 3 May 2013

Asal Usul HAGETAKA



HAGETAKA merupakan perkataan Jepun yang membawa maksud 'Burung Hering' ataupun 'VULTURES' di mana ia adalah nama asal pasukan ragbi SK Kota Kuala Muda sejak awal tahun 2012. Namun sebagai satu transformasi di samping pembangunan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain telah membawa kepada perubahan nama pasukan ini.

Jika pencapaian tahun 2012 diambilkira, pasukan ini telah menyertai beberapa kejohanan dan pencapaian yang telah mereka perolehi adalah seperti berikut:

  1. Kejohanan MSSK (D) Kuala Muda / Yan (Tempat Ke-3)
  2. Kejohanan MSS Kedah (mewakili daerah Kuala Muda / Yan - tempat Ke-4)
  3. Kejohanan BRC International 10's (Naib Johan Saucer)
  4. Kejohanan SMSS 7's (tempat Ke-4)
  5. Kejohanan Ragbi Sentuh Terbuka UPM (Johan Bowl)
  6. Kejohanan Ragbi Iskandar, Johor Bawah 11 Tahun (Johan Bowl)
  7. Kejohanan Ragbi Piala Gajah, Perak (Ke-6 Cup)
  8. Kejohanan Sirkit Bawah 11 Tahun Kedah Kulim (Penyertaan)
  9. Kejohanan Sirkit Bawah 11 Tahun Kedah Kuala Muda / Yan (Naib Johan Bowl)
  10. Kejohanan Sirkit Bawah 11 Tahun Kedah Kubang Pasu (Johan Plate)
  11. Kejohanan Piala D'Rhinos, Melaka (Naib Johan Cup)


Jika dilihat pada senarai kejohanan di atas, maka boleh dikatakan pasukan ini sangat aktif dan mampu untuk memberi saingan di dalam semua kejohanan. Namun begitu, terima kasih harus diucapkan kepada semua yang memberi sumbangan terutama ibu bapa yang tidak putus-putus menyokong anak-anak mereka melibatkan diri di dalam sukan ini. Begitu juga kepada pihak pentadbiran sekolah atas sokongan dan izin mereka maka pasukan ini dapat meneruskan usaha menaikkan nama sekolah. Tidak lupa juga kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda / Yan yang banyak memberi sokongan kewangan kepada pasukan ini untuk bertanding di luar negeri Kedah seperti UPM dan Johor yang banyak memerlukan perbelanjaan.

Maka pada tahun 2013 ini pula, pasukan ini tidak mampu lagi untuk terus hanya menyertai dan bermain pada kategori yang rendah dan memasang impian untuk bersaing sekurang-kurangnya kategori PLATE ataupun lebih baik iaitu CUP. Namun atas faktor kekurangan kewangan, tahun ini HAGETAKA hanya menumpukan kepada beberapa kejohanan utama sahaja supaya dapat memberikan fokus dan tumpuan. Antaranya ialah kejohanan UPM, JOHOR, PERAK dan MELAKA.

Diharap pasukan HAGETAKA dapat meneruskan kecemerlangan mereka dan membuktikan bahawa hasil penat lelah mereka selama ini harus mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. 

Majulah Ragbi untuk HAGETAKA.....

Thursday 2 May 2013

Pasukan HAGETAKA

HAGETAKA


Assalamualaikum semua....

Alhamdulillah akhirnya akademi ragbi HAGETAKA yang berpengkalan di Kota Kuala Muda mempunyai laman blognya sendiri hasil kerja keras dan sumbangan semua pemain serta pegawai yang sangat komited terhadap sukan ragbi sentuh bawah 12 tahun ini.


Pada tahun 2013, pasukan HAGETAKA telah memulakan kempennya dengan menyertai Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun MSSK Daerah Kuala Muda / Yan. Pada kejohanan kali ini, mereka telah membentuk 2 buah pasukan dan telah mendapat keputusan NAIB JOHAN dan Ke-3 di belakang pasukan SK Berapit.



Kemudian, seramai 16 orang pemain telah terpilih untuk mewakili pasukan Daerah Kuala Muda / Yan ke Kejohanan MSS Kedah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra melalui 2 buah pasukan iaitu KMY 'A' dan KMY 'B'. Hasilnya, KMY 'A' berjaya mendapat tempat Ke-3 di mana Johan disandang oleh daerah Kota Setar dan Naib Johan oleh pasukan dari Kubang Pasu.



Berita terkini, pasukan HAGETAKA sedang giat berlatih untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Sentuh Bawah 12 Tahun anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18 Mei 2013 nanti. HAGETAKA telah mendaftarkan dua buah pasukan iaitu KKM CARANCHO dan KKM ZAMURO yang dibarisi oleh pemain yang berpengalaman untuk bawah 12 tahun dan 11 tahun samada di peringkat daerah mahupun negeri Kedah Darul Aman. Harapan yang tinggi untuk pasukan ini terus berjuang bagi memperolehi keputusan yang baik di mana pada edisi yang lalu, pasukan HAGETAKA ini telah mendapat JOHAN BOWL. 

Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan sumbangan kepada pasukan HAGETAKA ini termasuk pihak pentadbiran sekolah, ibu bapa, guru dan orang perseorangan samada secara langsung ataupun tidak langsung.